utusan

EKONOMI
UTUSAN MALAYSIA: 07/11/2009

Swasta terajui ekonomi tahun depan

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Bermula tahun depan, sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan mahu melihat sektor swasta menjadi peneraju ekonomi nasional, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan akan bertindak sebagai fasilitator dan menyediakan infrastruktur asas bagi memastikan setiap projek yang dirancang berjalan lancar.

"Bagaimanapun, projek impak tinggi oleh sektor swasta akan dilaksanakan secara bersama dengan kerajaan.

"Melalui cara berkenaan, ia memberi ruang yang lebih besar kepada sektor swasta untuk memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku direktori Malaysia 1,000 edisi ke-empat di sini hari ini.

Mengulas perkembangan inovasi di negara ini, Mustapha berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang tinggi iaitu pada tangga ke 25 daripada 130 buah negara yang dilaporkan dalam Indeks Inovasi Global 2008-2009 yang diterbitkan oleh Institut Pentadbiran dan Pembangunan Eropah (INSEAD).

Katanya, melalui usaha dan gesaan kerajaan dalam pembangunan inovasi dan kreativiti, kerajaan berharap negara dapat disenaraikan antara 10 negara terbaik dalam ekonomi dunia seperti yang dicapai oleh negara jiran iaitu Korea dan Singapura.

"Kita telah meletakkan sasaran untuk mencapai pendapatan per kapita berganda dan lebih dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui ukuran inovasi berkenaan sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi,'' ujarnya.

Menyentuh mengenai buku direktori Malaysia 1000, Mustapha berkata, ia dijangka menarik lebih ramai pelabur asing untuk membuat pelaburan di negara ini.

Buku berkenaan, katanya akan menjadi kompas perniagaan kepada para pelabur berkenaan sebelum membuat pelaburan di negara ini.

Menurut beliau, buku berkenaan sesuai untuk pelabur dan badan-badan korporat untuk mendapatkan petunjuk dan maklumat tepat, lengkap dan terbaru mengenai prestasi kewangan syarikat-syarikat tempatan.

Selain itu, para pelabur juga dapat mengenal pasti mana-mana syarikat yang menjadi peneraju dalam pelbagai sektor di negara ini.

Jelasnya, negara memerlukan pelbagai kreativiti dan inovasi seperti direktori berkenaan dalam usaha mengekalkan prestasi syarikat bagi menentukan perniagaan tempatan tidak dipinggirkan.

Menurut beliau, selain direktori, pengurus dan eksekutif syarikat juga harus bekerja lebih keras untuk menjana idea baru dan mencipta pelan yang lebih berkesan bagi memajukan perniagaan masing-masing.

"Kerajaan sendiri akan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif melalui perubahan struktur bagi menentukan sebuah ekonomi berorientasikan pasaran.

"Ini bagi membolehkan sektor swasta menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara mulai tahun depan.

"Penubuhan SME Corp., sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) umpamanya adalah salah satu langkah yang diambil kerajaan untuk menggubal beberapa program perniagaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana,'' katanya.

Mustapha menambah, buku berkenaan boleh memainkan peranan penting iaitu sebagai pintu pelaburan kepada pelabur asing untuk melihat prestasi ekonomi dan suasana perniagaan di sini.

Beliau yakin buku berkenaan mengandungi maklumat yang relevan untuk dijadikan pasaran pintar bagi membantu memperkenalkan syarikat-syarikat Malaysia kepada pengimport-pengimport asing yang mencari pembekal dari Malaysia.

Melalui cara ini, jelasnya, ia membantu meningkatkan profail pengeksport-pengeksport dalam pasaran asing.